}

Friday, 17 April 2015

Konsep Kajian Tindakan

Kemmis dan McTaggart (1988), menggariskan beberapa konsep penting dalam kajian tindakan iaitu:
  1. Kajian tindakan adalah suatu pendekatan bagi menambah baik atau membaiki pendidikan dengan cara melakukan perubahan dan mempelajarinya akibat daripada perubahan tersebut. 
  2. Kajian tindakan adalah bersifat penglibatan (participatory) iaitu berusaha ke arah memperbaiki amalan mereka sendiri. 
  3. Kajian tindakan dilakukan melalui kitaran refleksi kendiri (self-reflectivespiral) iaitu suatu kitaran gelungan yang terdiri daripada merancang, melaksana, menilai, mereflek dan seterusnya merancang sekali lagi, melaksana, menilai, mereflek. 
  4. Kajian tindakan dilakukan secara kolaboratif iaitu melibatkan mereka yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan dan bagi memperbaiki suatu amalan pendidikan. 
  5. Kajian tindakan melibatkan aktiviti menyimpan rekod, mengumpul dan menganalisis pertimbangan (judgement), reaksi dan tanggapan terhadap apa yang berlaku sebagai bukti. 
  6. Kajian tindakan melibatkan penggunaan jurnal peribadi iaitu kita merekod perkembangan dan refleksi kita tentang proses pembelajaran. 
  7. Kajian tindakan melibatkan penyelidik dalam membuat analisis kritikal (critical analysis) terhadap situasi (bilik darjah, sekolah, sistem) mereka bekerja.Kajian tindakan dimulakan secara kecil (start small) dan kemudian ke arah perubahan yang lebih besar. 
  8. Kajian tindakan bermula dengan kitaran kecil (small cycles) yang terdiri daripada merancang, bertindak, menilai, mereflek supaya dapat membantu untuk mentafsir isu, idea, dan tanggapan dengan lebih jelas.

Tuesday, 7 April 2015

Video

Tujuan Kajian Tindakan

Menurut Carr dan Kemmis (1986), terdapat dua tujuan utama pelaksanaan sesuatu kajian tindakan:

(a)  Menambah baik - merujuk  kepada penambahbaikan dalam tiga peringkat iaitu:
  • penambahbaikan terhadap amalan;
  • penambahbaikan kefahaman terhadap amalan oleh pengamal; dan
  • penambahbaikan terhadap situasi di mana amalan diamalkan.


(b)  Melibatkan - merujuk kepada penglibatan pengamal yang mengamalkan sesuatu bidang.

           Dalam bidang pendidikan, sering kali akan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan amalan pengajaran dan pembelajaran, dan ini menuntut pemulihan keadaan. Misalnya, katakan sebilangan pelajar tidak berminat terhadap sesuatu mata pelajaran apabila diajar oleh seorang guru yang baru mengambil alih tugas daripada guru lain. Situasi sebegini dapat diatasi melalui pelaksanaan suatu penyelidikan bagi mengembalikan minat kumpulan pelajar berkenaan terhadap mata pelajaran tersebut, yakni suatu penambahbaikan terhadap amalan. Penyelidikan juga boleh dijalankan bagi memahami punca minat sekumpulan pelajar menurun apabila berlaku pertukaran guru yang mengajar; untuk mengetahui sama ada perubahan yang berlaku adalah berikutan ciri guru atau ciri topik yang diajar oleh guru - suatu penambahbaikan terhadap kefahaman guru terhadap amalan. Malah penyelidikan tindakan juga dapat dilaksanakan bagi mengubah situasi di mana masalah kekurangan minat berlaku, contohnya dengan mewujudkan elemen baru. Misalnya, penggunaan pendekatan bercerita dalam pengajaran guru bagi meningkatkan kembali minat terhadap pengajaran.

              Ini bermakna, kajian tindakan bukan sahaja membantu memahami amalan serta menambah baik amalan, malah membantu menyesuaikan amalan dengan perubahan yang berlaku di luar, serta mengubah apa yang berlaku di luar bagi menambah baik amalan. Sebagai contoh, kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut guru menyesuaikan amalan pengajarannya dengan mengemas kini fakta-fakta yang disampaikan; fakta-fakta terkini dapat dicapai melalui internet. Guru juga boleh mencari jalan untuk mengesan dan menghalang amalan memplagiat dalam kalangan pelajarnya dengan menggunakan kemudahan internet; seperti mewajibkan pelajar menyertakan senarai rujukan alamat URL laman web yang dirujuk oleh pelajar. Suatu lagi matlamat kajian tindakan ialah memastikan penambahbaikan berlaku terhadap guru dari segi kefahaman terhadap perubahan yang berlaku serta amalan bertindak balas dengan perubahan itu.

       Kesimpulannya, kajian tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya iaitu menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan serta menggalakkan guru menyelidik amalan-amalan yang ingin diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu.Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya yang boleh menambah tingkat tahap keprofesionalisme yang dimilikinya.

Lagu Sekolah




Perjuangan dalam pendidikan
Kecemerlangan ilmu
Menjadi asas tumpuan kami
Bagi warga Astana

Jasa guru tetap dikenang
Walau di mana berada
Namamu tetap jadi sanjungan
Hingga ke akhir hayat

Kami...pelajar Astana
Berikrar dan berjanji
Berusaha beramal hingga berjaya
Demi bangsa tercinta

Di sini kami bersatu
Mengharum namamu di merata dunia
Menjadi teras membina
Bangsa dan negara
Kami...pelajar Astana
Berikrar dan berjanji
Berusaha beramal hingga berjaya
Demi bangsa tercinta

Di sini kami bersatu
Mengharum namamu di merata dunia
Menjadi teras membina
Bangsa dan negara
Astana di hati kita

Sejarah Kajian Tindakan



          
Konsep 'kajian tindakantelah dipelopori oleh John Dewey di Amerika Syarikat pada tahun 1920an, tetapi tidak mendapat sambutan sehinggalah selepas perang dunia kedua. Pada tahun 1946, seorang ahli psikologi sosial, Kurt Lewin mula menggunakan pendekatan kajian tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah komuniti setempat. Perkembangan pelaksanaan penyelidikan tindakan dalam bidang pendidikan pula telah dipelopori oleh Steven Corey dari Kolej Guru, Universiti Columbia, Amerika Syarikat pada tahun 1953 apabila beliau menggunakan kajian tindakan sebagai pendekatan dalam projek penyelidikan guru-guru di sekolah. Kajian tindakan ketika itu telah didefinisikan sebagai proses penyelidikan amalan kendiri bagi menyelesaikan masalah dalaman guru.

               Di Australia, kajian tindakan digunakan sebagai pendekatan untuk membantu guru mengembangkan usaha inkuiri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pelopornya seperti Steven Kemmis menegaskan bahawa kajian tindakan adalah suatu pendekatan penyelidikan yang mampu mempertingkatkan profesionalisme guru (Kemmis & McTaggart,1988). Di Australia juga, Baird, Fensham, Gunstone, dan White (1989), melalui projek PEEL (Project for Enhancing Effective Learning) telah menjalankan kajian tindakan secara kolaboratif, di mana ahli akademik di pusat pengajian tinggi bekerjasama dengan guru secara berkumpulan bagi menjalankan kajian tindakan. Perkongsian antara konsultan luar dengan guru dilakukan atas andaian adalah sukar bagi guru melaksanakan peranan sebagai penyelidik di sekolah secara bersendirian.

Latihan Mengajar di SMK Astana, Kuantan.



Latihan Mengajar saya bermula pada bulan Julai 2014. Masih teringat kenangan itu apabila pertama kali melapor diri bersama lima lagi guru praktikal. Empat jejaka dan dua gadis termasuk diri. Masih teringat reaksi muka guru-guru dan juga pelajar yang terkejut dengan kehadiran kami ke sekolah itu. Kehadiran kami disambut baik oleh pihak pentadbir sekolah berkenaan yang mengalu-alukan kehadiran kami di sekolah tersebut.